NuraSofia 1983

Sunday, 27 May 2012

Bermain dalam konsep kanak-kanak

Profesor Bruner adalah salah seorang pakar yang mempelopori teori konstruktivisme (constructivism) dan proses pembelajaran penemuan (discovery learning). Sebelum saya mula mengulas enam fungsi aktiviti bermain berdasarkan penyelidikan beliau, molek kiranya jika kita dapat memahami terlebih dahulu tiga ciri utama teori yang telah dipelopori oleh pakar tersohor dunia ini (maafkan saya jika tiga ciri ini berbunyi terlalu akademik, apa pun kita wajib memahami asas pemikiran pakar ini sebelum kita mengulas dan mengupas pendapat beliau tentang aktitivi bermain kanak-kanak).

Tiga ciri teori konstruktivisme dan proses pembelajaran penemuan Bruner :

Ciri Pertama :
Menyedari kecenderungan kanak-kanak mencari pengalaman yang berguna sambil menimba ilmu pengetahuan.

Kadang-kadang kita terlupa bahawa kanak-kanak praformal dalam lingkungan usia 1-6 tahun sedang aktif belajar tentang dunia di sekeliling mereka. Hal ini terjadi kerana kanak-kanak kelihatan seperti taksub kepada keseronokan dan hanya ingin bermain setiap masa dan ketika. Malah, jika ditolak masa tidur kemungkinan besar setiap detik si kecil anda celik dipenuhi dengan aktiviti bermain semata-mata.

Walau bagaimanapun, pengalaman yang berguna juga akan membantu seorang anak kecil mula menimba ilmu secara tidak langsung. Faktor-faktor luaran seperti dorongan orang tua, adat dan budaya setempat serta faktor sosial lain amat mempengaruhi proses ini. Penyelidikan berpuluh tahun Profesor Bruner mendapati bahawa ibu bapa dan juga guru prasekolah berfungsi sebagai pemangkin proses ini.

Malah, ibu, bapa dan guru prasekolah yang prihatin dapat menyokong proses ini dengan membantu kanak-kanak mencari serta merasai pengalaman-pengalaman baru. Hasilnya, perlahan-lahan kecenderungan kanak-kanak untuk belajar akan terlihat dan mereka akan mempelajari kemahiran-kemahiran baru melalui aktiviti seperti bermain secara spontan sama ada bersendirian atau dengan kanak-kanak lain.

Ciri Kedua :
Memahami konsep dan struktur ilmu pengetahuan dari mata dan pemikiran kanak-kanak.

Ambil aktiviti bermain sebagai contoh. Sebagai orang dewasa, kita mungkin tidak sedar bahawa secara amnya Semua aktiviti bermain berpotensi memberi pengalaman yang berguna kepada si kecil seterusnya membantu anak kecil itu untuk mempelajari sesuatu yang baru, menambah pemahamannya atau mungkin juga menggantikan konsep salah (yang dipelajari sebelum itu) dengan konsep yang lebih tepat dan relevan.

Masalahnya, hari ini kita hanya ‘melihat’ ilmu pengetahuan sebagai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) sahaja. Jika si kecil lambat menguasai tiga kemahiran asas ini, kita cenderung merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan anak kecil itu! Konsep dan struktur ilmu pengetahuan tidak boleh dilihat dan dinilai dari kaca mata orang dewasa semata-mata.

Menurut Profesor Bruner, antara ilmu pengetahuan yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak adalah pemahaman tentang ciri, kategori dan fungsi benda-benda di sekeliling mereka. Dari titik ini nanti barulah kanak-kanak boleh mula membawa pemikiran mereka ke tahap yang lebih tinggi – tahap di mana mereka akan lebih bersedia untuk menguasai kemahiran 3M dan seterusnya. Dalam erti kata lain, memaksa si kecil ‘mempelajari’ sesuatu sebelum dia bersedia bukan hanya menyeksa anak kecil itu malah mungkin menyeksanya!

Ciri Ketiga :
Mendedahkan kanak-kanak kepada ilmu pengetahuan baru secara bertahaptahap. Di sekeliling kita, informasi terkandung bukan hanya dalam bentuk visual atau fizikal. Jika kita tidak dapat melihat sesuatu, itu tidak bererti benda atau perkara itu tidak wujud. Akan tetapi, kanak-kanak pada usia praformal masih belum dapat memahami realiti asas ini. Itu sebabnya kanak-kanak perlu diberi pendedahan secara penderetan atau penjujukan (sequencing) menggunakan gambar atau objek terlebih dahulu.

Kemudian mereka perlu didedahkan kepada perkataan dan simbol yang membawa makna yang serupa dengan gambar atau objek yang ditunjukkan kepada mereka. Diharapkan melalui langkah ini, kanak-kanak dapat mula berfikir secara konsepsi (conceptual) – iaitu suatu tahap pemikiran yang lebih kompleks.

Yang pasti, ini adalah suatu proses yang akan mengambil masa dan memerlukan ruang penerokaan yang luas. Itu sebabnya Profesor Bruner mengesyorkan aktiviti bermain sebagai salah satu cara permulaan untuk membantu kanak-kanak memajukan kemahiran berfikir mereka. Buku-buku bergambar yang diterbitkan untuk kanak-kanak hari ini juga cuba menepati ciri ketiga teori Bruner ini sebagai wadah untuk membantu pemikiran mereka berkembang supaya dapat menguasai ilmu pengetahuan yang lebih kompleks!

Enam pandangan Bruner mengenai aktiviti bermain dalam dunia kanak-kanak praformal (0-6 tahun) :

Akhirnya, kita sampai ke topik utama yang ingin diketengahkan oleh siri artikel ini iaitu aktiviti bermain dari sudut pandangan seorang pakar yang amat berpengalaman serta berpengetahuan luas dalam proses perkembangan kanak-kanak dan cara terbaik untuk mendidik si kecil.

Buku karya Profesor Bruner bertajuk “The Process of Education” atau Proses Pendidikan yang ditulis pada tahun 1960 misalnya, masih menjadi sumber rujukan utama hari ini untuk para penyelidik dan juga pendidik yang ingin mendalami teori konstruktivisme dan proses pembelajaran penemuan.

Untuk memudahkan perbincangan, enam pandangan beliau telah saya simpulkan dan paparkan semula dalam gambar rajah berikut. Walau bagaimanapun, disebabkan kekangan ruang bulan ini hanya sudut pandangan yang pertama dapat kita bincangkan.
Pandangan pertama: Bermain sebagai suatu ruang penerokaan yang amat kecil risiko kekecewaan.

Dalam hidup sehari-hari, hampir semua usaha dan perbuatan kita mendatangkan akibat dan kesan kepada diri sendiri, orang lain atau dunia fizikal di sekeliling kita. Ini adalah lumrah hidup yang tidak dapat kita elakkan. Akibat dan kesan ini pula sudah tentu akan mempengaruhi corak pemikiran dan gaya tindakan anda dan saya. Akibat dan kesan yang tidak baik, yang negatif lagi buruk misalnya, akan sentiasa kita elakkan demi kehidupan yang lebih aman, tenang dan tenteram.

Walau bagaimanapun, apabila kanak-kanak bermain lazimnya mereka tidak perlu terlalu memikirkan tentang akibat dan kesan seperti ini (kecuali mungkin padah yang akan datang kalau-kalau perlakuan mereka mendatangkan mudarat kepada diri sendiri, rakan sepermainan atau harta-benda orang lain). Pada masa yang sama, kanak-kanak pada usia praformal sudah tentu tidak menghiraukan ‘padah’ ini apabila mereka khusyuk bermain!

Kenapakah hal ini terjadi? Jawapannya mudah, kerana bermain adalah suatu aktiviti yang amat sedikit atau langsung tiada akibat atau kesan yang tidak baik, yang negatif lagi buruk. Kesilapan dan kesalahan ketika bermain sebagai contoh, lazimnya tidak mendatangkan keburukan kepada si kecil. Begitu juga halnya jika si kecil gagal dalam aktiviti bermain yang dilakukannya.

Jika dilihat dari sudut yang berbeza, aktiviti bermain tidak akan mendatangkan sebarang rasa kecewa atau rasa kecewa yang berpanjangan kepada anak anda – walaupun mungkin aktiviti itu sendiri sesuatu yang amat serius dimatanya! Apabila kanak-kanak bermain, mereka bermain untuk diri mereka sendiri dan tidak pula untuk orang lain. Jauh sekali mereka bermain dengan ‘niat ikhlas’ untuk mencari pengalaman berguna demi menimba ilmu pengetahuan.

Oleh sebab itu, aktiviti bermain adalah ruang penerokaan yang terbaik untuk kanak-kanak yang sedang aktif membesar dan berkembang. Ia adalah suatu arena di mana mereka boleh melakukan dan mencuba apa sahaja yang diingini (dengan pemantauan ahli keluarga atau guru prasekolah mereka pastinya). Apa pula kisahnya jika si kecil kecewa atau gagal ketika bermain? Jangan anda risau kerana esok adalah suatu hari yang baru dengan peluang untuk terus bermain sekali lagi.

Permainan Pintar untuk si Kecil

Bermain adalah salah satu kaedah untuk merangsang perkembangan intelektual si manja anda. Jadi, selain memastikan si manja anda mendapat khasiat pemakanan lengkap, tidur yang mencukupi dan menjaga kebersihan diri serta sekelilingnya, permainan atau waktu bermain si manja juga tidak harus dipandang remeh. Panduan berikut mungkin boleh membantu para ibu bapa memilih permainan yang paling tepat untuk merangsang minda si manjanya.

1. Bayi di bawah usia 3 bulan sebenarnya sudah mula meneroka mindanya melalui aktiviti bermain. Walaupun kelihatan masih lemah namun aktiviti si manja ini bukan sekadar minum susu dan menangis sahaja. Renungan matanya, pergerakan genggaman tangan yang spontan serta sentuhan mama, papa dan ahli keluarganya yang lain adalah aktiviti awal si manja dalam usaha menerokai dunia barunya itu.

2. Bayi yang berusia 3 bulan ke atas memiliki aktiviti yang lebih khusus. Perasaan ingin tahunya lebih tertumpu pada tarikan bunyi dan visual yang ada di sekelilingnya. Dalam usia sebegini, bayi lebih gemar bermain dengan tangannya sendiri, mengenali wajah orang terdekat dan mengamati permainan. Selain itu, dalam usia seawal ini juga ‘teether’ atau ‘activity gims’ boleh diperkenalkan kepada si manja anda. Seiring dengan bertambahnya usia si manja anda, aktivitinya juga semakin bertambah. Sesi memandikannya juga boleh menjadi salah satu aktiviti yang menyeronokkan baginya seperti menepuk-nepuk permukaan air atau meletakkan permainan di dalam besen mandinya.

3. Bayi yang berusia 6 bulan ke atas selalunya sudah boleh duduk sendiri, boleh merangkak, memegang benda-benda kecil dengan menggunakan ibu jari dan telunjuknya serta mengajaknya bermain ‘peek-aboo’ (baa-caak). Patung yang lembut, buku yang diperbuat daripada bahan yang lembut seperti fabrik (first book) sesuai diberikan kepada si manja di usia ini.

4. Manakala bayi yang bersia 10 bulan ke atas pula akan mula belajar berdiri dan cuba untuk berjalan. Dalam usia ini beberapa peralatan yang ada di rumah boleh dijadikan sebagai permainan untuk si manja. Contohnya; mangkuk, cawan, sudu plastik dan pelbagai lagi barangan yang dikategorikan sebagai selamat untuk bayi anda. Malah normal juga sekiranya anak anda cepat bosan dengan barangan permainan yang dimainkannya. Sebagai ibu bapa, anda perlulah lebih kreatif ketika mengajak si manja anda bermain.

5. Apa yang harus ibu bapa ambil berat dalam pemilihan permainan untuk si manja adalah faktor kesesuaiannya. Permainan yang diberikan perlulah sesuai dengan usianya kerana permainan yang terlalu mudah dimainkannya akan membuatkan si manja lebih cepat bosan. Tetapi jangan pula anda memilih permainan yang terlalu sukar baginya. Kerana permainan yang sukar dan tidak sesuai dengan usianya itu akan menyebabkan si manja rasa kecewa.

6. Selain itu kesesuaian juga berkait rapat dengan keselamatan. Sila semak label permainan sebelum membelinya. Telitilah sebelum membeli, itu adalah kaedah pembelian yang sangat tepat. Tambahan pula, hari ini terdapat lambakan permainan buatan luar negara di pasaran tempatan dengan tawaran harga yang agak murah. Segelintir daripadanya tidak sesuai untuk diberikan kepada si manja anda. Jadi para ibu bapa perlu memastikan label yang terdapat pada bungkusan permainan itu selari dengan kualiti ‘isi’ yang ada di dalamnya.

1. Buku pertama si manja Tiny Love - RM89.90
Boleh digunakan seawal bayi anda dilahirkan. Buku ini menggalakkan rangsangan visual si manja. Paduan warna cerah merah, hitam dan putih memang sangat membantu dalam merangsang penglihatannya. Lebih istimewa lagi, produk ini tampil dalam rekaan 3D yang membolehkan si manja merasai kepelbagaian material yang ada pada buku yang diperbuat daripada fabrik ini. Mempunyai dua bahagian; hadapan dan belakang.

Bahagian 1 - Hitam & Putih – Ilustrasi kontra yang sangat merangsang deria si manja.

Bahagian 2 - Aktiviti permainan yang berwarna-warni ini membantu perkembangan imaginasi bayi anda dan meningkatkan skil motornya.

2. Wonderland Peek-a-boo-ball - RM38.90
Bola peek-a-boo ini membantu merangsang bayi untuk memerhatikan pergerakan objek sekali gus menajamkan lagi perkembangan visualnya. Keluar dan sorokkan kembali patung-patung yang ada pada bola tersebut sambil berkata “baa... caak,” dengan cara ini ia boleh menarik perhatian si manja untuk memerhatikan objek berwarna-warni yang ada pada bola yang diperbuat daripada material kayu bermutu tinggi ini. Sesuai dimainkan kepada bayi yang berusia dari 0 hingga 3 bulan.

3. K’s Kids Bath Toy Set - RM29.90
Set permainan sewaktu mandi ini memang cukup menarik. Ia boleh melatih anak anda agar tidak fobia bila berada di dalam besen mandi yang dipenuhi air. Selain warnanya yang terang, ia diperbuat daripada bahan lembut yang boleh ditekan oleh bayi anda, memancutkan air serta terapung di atas air. Permainan ini boleh merangsang kanak-kanak dengan menajamkan lagi deria penglihatannya, memperkuatkan lagi kemampuannya menggenggam dan memegang sesuatu objek.

Lelaki vs Perempuan

Anak sulung anda perempuan dan anda tidak mempunyai banyak masalah misalnya mengajar dia membaca dan dia juga ikut arahan anda tanpa banyak membantah. Bagaimanapun, situasi ini tidak sama berlaku pada anak kedua anda, lelaki. Dan anda mula membanding-bandingkan si adik lelaki ini dengan kakaknya.

Karakter mereka jauh berbeza dan anda mendapati lebih lelah kala mengajar si adik! Kesannya, ramai ibu yang menganggap anak lelaki mereka itu tidak dengar kata, nakal, kurang gemar belajar, banyak bermain dan kurang tumpuan kepada sesuatu perkara.

Pa&Ma membawa para ibu mendalami karakter anak lelaki dan perempuan. Ini penting bagi memastikan para ibu memahami karakter mereka agar dapat mendidik si hero kesayangan dengan cara lebih berkesan. Ingat, jangan samakan anak lelaki dengan anak perempuan!

Perbezaan ketara antara anak lelaki dengan anak perempuan :

Lelaki
• Anak lelaki sangat suka memerhatikan pergerakan tubuh manusia. Mereka menggemari sesuatu yang dinamik dan anak lelaki lebih cepat pandai berjalan.
• Sejak dari kecil, jika diperhatikan bayi lelaki lebih kerap menggeliat, menendang kakinya dan bergerak lebih aktif berbanding bayi perempuan.
• Anak lelaki lebih mudah tersentuh hatinya berbanding anak perempuan. Memujuk anak lelaki yang menangis adalah lebih lama berbanding anak perempuan.
• Anak lelaki juga lebih menyukai kehadiran orang lain, terutama kelompok yang seusia dengannya. Tidak hairanlah, apabila menginjak dewasa mereka gemar membentuk persahabatan secara berkumpulan.
• Dalam satu kajian yang dilakukan kepada bayi berusia 3 hingga 12 bulan mendapati, bayi lelaki lebih pantas memberikan respons positif kepada suara-suara keras. Manakala bayi perempuan pula menunjukkan reaksi takut bila mendengar bunyi-bunyian yang agak keras dan garang itu. Ini jelas membuktikan bahawa anak lelaki lebih berani berbanding perempuan.

Perempuan
• Walaupun baru lahir, bayi perempuan akan cuba menjaga kontak mata dengan ibunya. Dan dalam komunikasi pula, anak perempuan lebih cepat mengeluarkan kata-kata pertama berbanding anak lelaki.
• Lebih bijak menggunakan tangannya. Jadi tidak hairanlah apabila anak perempuan dilihat lebih cepat bermain dengan pelbagai alat permainan maenggunakan senduk dan garpu walaupun dalam usia yang terlalu kecil dan lebih cepat mampu menulis dengan rapi.
• Anak perempuan juga lebih peka mengesan suara atau bunyi-bunyian. Anak perempuan lebih tertarik dengan suara manusia berbanding bunyi lain. Cuba anda bunyikan loceng kepada sepasang bayi berlainan jantina. Anda tidak dapat melihat perbezaan yang jelas antara respons bayi lelaki degan bayi perempuan. Tapi, cuba anda mengeluarkan suara seperti sedang berbual. Bayi perempuan akan menunjukkan minatnya untuk berbual dengan anda.
• Anak perempuan juga lebih tertarik untuk memerhatikan wajah seseorang, khususnya wajah lembut para ibu. Mereka lebih bijak membaca emosi orang lain.

Keperluan Si Anak Lelaki
Dalam budaya masyarakat kita hari ini, anak lelaki sering dinasihatkan agar tampil berani, selalu menang dan tidak boleh menangis. Jadi siapa yang harus disalahkan jika si anak lelaki bersikap agak kasar dan lasak? Sebagai ibu bapa, anda boleh menyampaikan nilai-nilai yang ingin ditanamkan dalam diri anak anda secara tidak langsung atau secara perkongsian pengalaman.

Awalnya, anak lelaki memiliki sikap terbuka yang sama seperti anak perempuan. Sebenarnya nilai-nilai positif mudah disampaikan kepada anak-anak yang masih kecil. Contohnya, ketika anak lelaki anda sedang bersedih, anda boleh mendekatinya dengan berkata; "Kenapa abang sedih? Ibu rasa lega kalau abang nak berkongsi masalah dengan ibu. Mungkin ibu boleh tolong?"

Hanya dengan dialog sedemikian, anda boleh mengenali emosinya sekali gus mengajarnya untuk saling berkongsi. Persiapkan anak lelaki anda untuk menghadapi pelbagai tekanan sosial sepanjang hidupnya, terutamanya yang berkaitan dengan tuntutan masyarakat agar senantiasa menjadi individu yang tegar. Jadi, penanaman nilai-nilai positif ini harus terus diperkukuhkan sehinggalah si anak dewasa.

Secara perlahan-lahan buka peluang kepada anak lelaki anda untuk berbicara tanpa dibayangi sikap terburu-buru. Mungkin anda boleh mengambil kesempatan untuk berbual sewaktu anak anda baru pulang dari sekolah atau sewaktu menghantarnya ke sekolah.

Rutin ringkas ini akan memberi kesempatan kepada anak lelaki anda untuk belajar bersikap terbuka.

Keperluan Si Anak Perempuan
Sikap saling berkongsi antara ibu dengan anak perempuannya menunjukkan langkah awal memupuk keakraban.

Kemampuan khusus anak perempuan atau ibunya untuk mengekspresikan perasaan-perasaan akan membantu mereka menjadi dekat antara satu sama lain. Anak perempuan akan mendapat pengalaman secara langsung dari ibunya dalam menghadapi pelbagai persoalan, seperti mengendalikan klik-klik sosial, meraih simpati orang lain dan sebagainya.

Sewaktu tahun-tahun pertama, ketika si manja sedang membangun identiti diri mengikut kesesuaian jantinanya (biasanya antara usia empat hingga enam tahun). Anak perempuan akan mengamati setiap gerak-geri ibunya sehingga dirinya boleh tampil seperti ibunya juga.

Biasanya masalah akan muncul jika proses identifikasi berlaku begitu kuat. Ini akan menyebabkan si ibu beranggapan dirinya benar-benar mengenali puterinya itu secara luar dan dalam. Akibatnya, si ibu tidak boleh lagi menjadi pendengar yang baik.

Ketika anak perempuan meningkat dewasa, pemerhatiannya akan berubah menjadi kritikan. Sebagai ibu anda tidak boleh silap dalam menilai kritikan yang disuarakan oleh si anak. Anak perempuan anda gemar menilai apa sahaja yang dilihat salah pada pandangan matanya. Dengan melepaskan emosinya kepada si ibu, anak perempuan berharap ia boleh difahami.

Didikan Anak Lelaki Dan Perempuan
1. Memang ada perbezaan ukuran bahagian otak antara anak lelaki dan perempuan. Faktor inilah yang mempengaruhi cara kerja otak mereka, misalnya pada kemampuan istimewa dan bahasa. Anak lelaki cenderung diam ketika mempelajari sesuatu, sementara anak perempuan pula lebih mudah faham jika melakukannya sambil bercakap.

2. Mengikut penelitian yang dilakukan oleh penulis buku Boys and Girls Learn Differently!,Michael Gurian, anak lelaki memiliki lebih sedikit saraf yang berhubung dengan emosi jika dibandingkan dengan anak perempuan. Kebanyakan anak perempuan lebih sensitif berbanding lelaki.

3. Secara psikologi anak di usia yang masih muda telah pun memiliki kesedaran dalam memilih permainan kegemarannya. Apabila dihubungkan dengan struktur otak dan saraf, anak perempuan yang lebih peka secara emosi berbanding anak lelaki akan memilih permainan yang memungkinkan dirinya berinteraksi, seperti anak patung. Sebaliknya, lelaki lebih tertarik dengan mainan yang berunsur kekuatan dan persaingan, seperti bermain bola atau ‘perang-perang’.

Namun, jika si anak memilih permainan di luar tradisi, ibu bapa tidak perlu bimbang. Bukan salah pada permainan yang tidak sesuai dengan gender si anak, tapi ibu bapa perlu mengajar si anak agar memahami tentang identiti seksualnya

Perkembangan anak 1- 2 tahun

Perkembangan merujuk kepada perubahan fizikal, mental dan sosial yang dapat dijangkakan dalam kehidupan bayi. Perkembangan adalah faktor penting dalam kehidupan bayi. Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan anak anda, teruskan membaca
maklumat yang disediakan ini.

Dalam memastikan perkembangan anak menjadi lebih positif, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membangkitkan kebijaksanaan di dalam diri anak-anak dengan mendidiknya secara holistik dalam cara-cara seperti memberikan makanan berkhasiat yang berkualiti, mewujudkan peluang dan ruang untuk perkembangan fizikal.

Selain itu, memberikan panduan dan rangsangan yang sesuai untuk perkembangan kognitif, memberi galakan dan empati bagi melengkapkannya secara emosi dan sosial.

Dalam tempoh itu, persediaan amat penting untuk menerima perubahan mengagumkan anak anda, dari seorang bayi kepada kanak-kanak kecil. Ini membolehkan anda membantunya mencapai kebolehan maksimumnya dalam empat bidang kepintaran pada setiap peringkat perkembangan.

Namun perkembangan awal fizikal tidak semestinya menunjuk kecerdikan seseorang anak kerana kematangan sistem saraf adalah berdasarkan sejarah keluarga. Penunjuk pada kecerdikan otak yang boleh dipercayai adalah senyuman awal, kepekaan, daya tumpuan dan ingatan yang baik, percakapan awal dan minat yang meningkat terhadap permainan.

Sama ada kepintaran anak lebih nyata dalam satu bidang atau adalah seorang yang serba berkebolehan, penjagaan dan pemakanan yang berkualiti, disulami dengan penerimaan dan kasih sayang tidak berbelah bagi dari ibu bapa, pasti akan membantu anak membesar menuju ke arah kecemerlangan.

Pendapat Head Start Project, menunjukkan bahawa baka bukanlah satu-satunya faktor yang boleh menentukan prestasi intelek seseorang itu kerana yang lebih penting lagi ialah pengalaman-pengalaman, kaedah-kaedah pembelajaran dan galakan yang diterimanya. Ramai para penyelidik menyatakan bahawa peringkat dua hingga tiga tahun adalah kritikal bagi perkembangan kognitif seseorang kanak-kanak itu.

Jika persekitaran atau cara bimbingannya sehingga peringkat umur ini rendah mutunya dari segi stimulasi, perkembangan kognitifnya tidak akan tercapai dengan optimum. Jadi ibu bapa adalah pencetus untuk stimulasi anak ke arah yang lebih positif.

Tips Kenali Diri Anak
Anak adalah pemerhati dan pengamat setia terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Jadi anda harus memperlihatkan wajah ceria, bahasa santun dan merangsang, belaian dan kemanjaan menjadikan anak berada dalam keadaan fitrah. Manakala komunikasi dan dialog dengan anak seharusnya berlaku dengan berbagai cara kerana anak mungkin bertanya sesuatu yang dilihat, dibaca dan ditonton kepada ibu bapanya.

Oleh itu, ibu bapa perlu bijak dan sabar memberikan penjelasan supaya fikiran serta perasaan anak terbimbing ke arah kebaikan. Sekiranya bimbingan dan perhatian rapi tidak diberi, sumber yang ditonton, dilayari, dibaca dan dilihat boleh memberi kesan negatif kepada jiwa dan pemikiran anak.

10 Panduan Ringkas Mengenai Si Kecil Anda :
1. Anak berumur 12 bulan sehingga 36 bulan (3 tahun) adalah unik. Pada usia ini mereka baru belajar mengenal diri sendiri dan membangunkan kemahiran diri.

2. Pada tempoh masa ini juga mereka akan mula belajar bertatih dan bercakap.

3. Pada usia ini, karektor mereka menawan hati yang melihatnya. Pastinya ibu bapa akan tersenyum melihat gelagatnya.

4. Memang pada usia ini anak kecil ini aktif. Tetapi mereka tidak boleh dilabelkan sebagai nakal.

5. Penerokaan juga menjadi agenda utama kanak-kanak pada usia ini. Ini kerana sikap ingin tahu, mencuba dan merasa menjadi keinginannya. Contohnya perkembangan kreativiti membantu anak menjadi seorang yang kreatif. Sediakan alat tulis untuk melakukan aktiviti yang menjana mindanya.

6. Perkembangan fizikalnya telah menjadi lebih baik daripada sebelumnya iaitu berlari lebih laju, boleh memanjat, mengimbangi diri dan lebih stabil imbangan badannya.

7. Kerenahnya juga semakin menjadi-jadi seperti menjadi seorang yang cerewet seperti memilih makanan yang sedap sahaja, tidak mahu makan sayur dan suka makan makanan manis.

8. Sudah pandai memilih pakaian dan permainan kesukaannya. Dia akan menunjukkan koleksi yang disukainya sambil berkata, ‘cantik’.

9. Bermain dengan emosi dengan anda apabila pandai merajuk apabila lambat membuat susu untuknya dan mahu pula dipujuk oleh anda.

10. Mereka ini cukup terkenal dengan ‘buat perangai’ atau menunjukkan tantrum. Ia berlaku disebabkan lapar, letih, sakit, cemas atau iri hati dengan adik-beradik yang lain.

Tuesday, 22 May 2012

LOVE..............

CIRI ISTERI SOLEHAH YANG DICARI...........

Sebenarnya menjadi seorang isteri lebih mudah untuk mendapatkan keredhaan dan ganjaran di sisi Allah sekiranya seorang perempuan yang berstatus isteri benar-benar menjalankan tanggungjawab dan peranannya dalam keluarga. Menjadi isteri menuntut waktu kerja 24jam sehari dan 7 hari seminggu.

Mana mungkin tugas berat ini diletakkan pada bahu seorang suami. Oleh sebab itu sebagai isteri perlu tahu bagaimana cara untuk menjadi seorang wanita yang menjadi dambaan suami, kerana bidang tugas seorang isteri sebenarnya lebih besar berbanding lelaki walau isteri tidak mendapat kuasa veto dalam keluarga.
Sebagai seorang suami, ciri-ciri di bawah ini akan menjadikan anda wahai isteri-isteri, seorang yang bakal disayangi sepenuhnya oleh suami. Tetapi dengan syarat anda mesti cuba untuk menjadikannya kenyataan.
1. Isteri yang cerdik
Dengan erti kata bukan cerdik dari sudut akademik. Gulungan ijazah bukanlah kejayaan yang perlu anda tonjolkan untuk menjadi isteri dambaan suami. Isteri yang cerdik akan benar-benar mengenali siapakah suaminya, tahu bagaimana mengambil hati suami di waktu sedih, pandai
mengangkat suami di pandangan orang lain, tidak hanya merajuk untuk mendapat perhatian dari suami. Wahai isteri-isteri anda sebenarnya mampu lakukan ini!
.
2.’Assistant’ dalam pengurusan kewangan keluarga
Jangan menjadi seorang isteri yang hobinya suka shopping. Anda sebenarnya mula memeningkan suami. Lebih-lebih lagi bajet kewangan suami anda adalah di luar kemampuannya. Sebagai seorang isteri andalah yang menjadi pembantu dalam perancangan ekonomi keluarga. Anda mungkin membantu jika anda juga bekerja. Tetapi bagaimana jika anda suri rumah sepenuh masa? Jika anda tidak berkemampuan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, biarlah sekurang-kurangnya anda menjadi pengurus yang bijak terhadap bajet bulanan yang diberikan oleh suami anda.
.
3. Manager dalam segala hal
Suami diberikan kuasa untuk memimpin kerana suami lebih rasional dalam membuat keputusan. Tetapi tidak dapat menguruskan semua perkara tanpa adanya isteri. Maka andalah wahai isteri-isteri yang perlu menjadi ‘manager’. Makan pakai suami, anak-anak, kebersihan rumah, perbelanjaan rumah dan perkara-perkara kecil yang diperlukan dalam kehidupan berkeluarga tidak akan dapat diuruskan tanpa bantuan isteri. Anda perlu mula memahami hakikat ini kerana sekiranya anda mampu menguruskan semuanya dengan cekap dan baik maka sudah pasti apabila suami anda pulang dari bekerja, beliau akan memberikan senyuman yang sempurna kerana menghargai anda.
.
4. Selalu di belakang suami
Ramai isteri mengharapkan suami berada selalu di samping mereka. Tetapi mereka terlupa bahawa ramai suami lari dari isteri kerana isteri mereka tidak pernah berada di belakang mereka. Seorang isteri perlu menjadi penenang kepada suami, berikan suami kata-kata semangat dan pelukan di saat emosi mereka jatuh. Sekiranya anda mampu berbuat demikian, percayalah bahawa tidak akan ada wanita lain di mata suami anda. Berikan sokongan dan galakan walaupun mungkin ada perbezaan pada minat dan hobi anda berdua.
.
5. Menjaga perut suami dan anak-anak
Yang ini seharusnya seorang isteri tidak dapat tidak mesti tahu memasak. Bahkan kalau mahukan kasih sayang lebih dari suami kena tahu apa masakan kegemaran suami. Walaupun mungkin masakan anda tidak sehebat masakan chef, tetapi hakikatnya suami tetap mahukan air tangan isterinya dalam menyediakan makanan. Tangan seorang isteri sudah tentu bukan sahaja menyediakan yang terbaik dalam menu untuk keluarganya, tetapi juga sudah pasti isteri yang hebat akan berdoa untuk setiap usaha menyediakan makan minum suaminya.
.
6. Pandai jaga diri
Isteri perlu pandai jaga diri dan famili. Maklumlah mungkin ada ketikanya suami ‘out station’ kerana berkursus atau atas urusan kerja yang lain. Maka sudah tentu isteri yang pandai jaga diri dan famili akan memberikan kelegaan di hati suami.
.
7. Perunding imej
Kalau suami anda nampak hensem di pejabat, sebenarnya isterilah yang mendapat pujian. Terutama di pandangan mata orang-orang tua. Sebab itu isteri perlu tahu menjaga imej suami. Bila digelar sebagai perunding imej suami, maka isteri juga perlu lebih-lebih lagi pandai mengurus
imej diri. Jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah, sedangkan ketika di rumah baju T-shirt dan kain batik menjadi pakaian utama. Cuba ubah situasi ini jika anda ingin menjadi isteri dambaan suami anda.
.
8. Menjaga keluarga mertua
Tidak dapat tidak untuk menjadi isteri dambaan suami, jangan hanya menyayangi suami anda akan akan bahagia. Anda perlu menjaga hati semua ahli keluarga sebelah suami anda. Percayalah anda benar-benar menjadi dambaan suami apabila anda mengambil berat tentang sakit demam mertua anda. Anda menjaga mertua anda seperti ibu kandung sendiri. Kerana itu semua akan membuatkan suami anda rasa dihargai dan menerima dirinya dan keluarganya.

Monday, 21 May 2012

DUIT SUAMI DUIT ISTERI, DUIT ISTERI HAK MUTLAK ISTERI..................

Hak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab suami.
Suami tiada hak untuk memerintahkan isteri keluar bekerja, menjadi kesalahan dari segi syarak jika ia berbuat demikian.

Tetapi apa yang boleh si suami boleh lakukan ialah meminta bantuan, jasa baik, saling memahami dari isteri supaya membantu dia, dengan si isteri keluar bekerja untuk meringankan beban kewangan.

Persefahaman dari pihak isteri amat diharapkan, kerana inilah hidup berumahtangga, susah senang sama-sama merasainya.  Si suami pula, jika isteri sudah membantu, hargailah pengorbanan dan jasa baik isteri, sedia membantu isteri dalam kerja dalam rumah. Barulah bahagia hidup, hingga ke syurga. InsyaAllah.

Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah menanggung nafkah isteri. Penyaraan nafkah adalah bermaksud menanggung semua perbelanjaan isteri selagi mana perkahwinan masih wujud. Perbelanjaan itu meliputi perbelanjaan makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal serta perubatan.

Ketentuan syariat nafkah keluarga terdapat dalam Surah al-Talaq ayat 7 yang bermaksud
 “Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah menurut kemampuannya. Barang siapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tiada memberati diri seseorang, melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran”.

Selama mana isteri taat kepada suaminya iaitu dalam lingkungan yang dibenarkan syarak maka selama itu ia berhak untuk mendapat hak nafkah. Apabila suami tidak memenuhi kewajipan isteri berhak menuntutnya.
Sekiranya isteri bekerja dan dengan kerjanya itu mendapat izin suaminya, maka wang hasil yang diperolehi oleh isteri tadi adalah hak milik mutlak isteri dan suami tidak mempunyai hak untuk meminta wang gaji isterinya itu.


Sebaliknya jika suami meminta wang gaji isteri dan isteri memberikannya dengan rela hati tanpa sebarang paksaan dengan niat untuk membantu suami ia tidak dianggap sebagai hutang kerana pemberian itu bukan atas dasar paksaan suami.
Bahkan perkara ini sangat digalakkan kerana wujudnya sifat tolong menolong di antara suami isteri demi kebahagiaan keluarga. Sekiranya suami meminta duit dari isteri dengan cara memaksa dan tanpa kerelaan isteri sendiri, isteri berhak untuk menuntut duit itu daripada suami kerana ia dianggap sebagai hutang.
Justeru, tanggungjawab menyara keluarga adalah terletak dibahu suami. Apabila sempurna saja ijab kabul sesuatu perkahwinan, maka TANGGUNGJAWAB terus wujud dibahu suami.

Umumnya suami yang bekerja mencari nafkah tetapi dewasa ini bukan saja suami yang bekerja mencari nafkah, malahan isteri juga turut sama menyumbang tenaganya di dalam pemerolehan keluarga serta membantu menaikkan taraf sosioekonomi sesebuah keluarga.

aurat wanita............kenapa perlu bertudung..............



) Tuntutan agama Islam yang suci.
- Puteri Rasulullah kemudian menanyakan apa yang dilihat ayahandanya. “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otaknya mendidih.
Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dituangkan ke dalam tengkoraknya. Fatimah Az-Zahra kemudian menanyakan mengapa mereka diseksa dengan teruk dalam keadaan itu?
Rasulullah menjawab, “Wahai puteriku, adapun mereka yang tergantung rambutnya hingga otaknya mendidih adalah wanita yang tidak  menutup rambutnya sehingga terlihat oleh lelaki yang bukan muhrimnya.

2) Mengurangkan dosa daripada terus dimurkai ALLAH
-Sehelai rambut yang diperlihat kepada seorang lelaki, satu dosa anda dapat.  Kalau sehelai rambut sengaja diperlihat kepada 10 lelaki maka 10 dosa anda dapat. Tahukah berapa ribu helai rambut anda? Dan tahukah berapa ribu lelaki yang akan anda temui hampir siap hari.

3) Lebih cerdik,selesa dan sihat
-Kepala yang dilindungi tudung akan lebih selesa, cuaca panas dapat dilindungi melalui pemakaian tudung. Kepala yang sihat dan selesa akan mendorong kelancaran perjalanan darah di otak, otak akan dapat berfikir dengan cepat dan baik.
Pemakaian tudung juga akan mengelakkan kepala dihinggap oleh serangga-serangga yang akan merosakkan rambut dan kepala.

4) Tidak membazir
- Tak perlu lagi ke kedai rambut atau salun untuk mencantikkan rambut dan membuang masa dengan meluruskan rambut dan mewarnakan rambut serta tidak membazir wang!

5) Lebih sopan dan manis
-Lebih 98%  lelaki mengakui wanita bertudung nampak lebih sopan dan manis.

6) Rambut lebih tahan lama dan sihat
-Fakta: Rambut yang terdedah kepada sinaran UV akan merosakkan dan menggalakkan keguguran rambut. Walaupun anda memakai pelbagai bahan kosmetik pelindung, hakikatnya bahan itu mengandungi bahan kimia yang berbahaya untuk rambut!

7) Menjadikan diri anda “Mahal”
- Kebanyakan lelaki berpendapat bahawa wanita bertudung ibarat buah epal manis yang sedang masak ranum di pokok tetapi sukar dicapai kerana kedudukannya di puncak pokok berbanding epal-epal lain.

8 ) Lebih dihormati dan dihargai
- Wanita bertudung lebih dihormati ramai, setiap tutur katanya menjadi panduan dan kesopanan serta sifat merendah diri menjadikan anda begitu dikagumi

9.) Lebih disayangi oleh ALLAH
- Wanita yang bertudung dengan cara yang betul serta melaksanakan perintah ALLAH akan terus dilindungi oleh ALLAH sehingga akhirat.

10.) Calon Isteri
- Kebanyakan statisitik yang diambil di Asia Tenggara. Ramai lelaki yang menjadikan wanita islam yang bertudung sebagai pilihan utama mereka sebagai isteri. Jadi jom pikat wanita yang bertudung dan jadikan ia sebagai wanita yang solehah


wanita berpurdah

Friday, 4 May 2012

Bayi berusia 6 bulan mati akibat renjatan elektrik

SHAMINA...genggam wayar elektrik
    

POKOK SENA: “Mak cik, mak cik...adik dah tidur,” jerit Sofina Zulaikha Mohd Azim, 3, tanpa mengetahui adiknya, Shamina Zulaikha, enam bulan, sebenarnya tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di rumah mereka di Kampung Lanchut Tok Leed, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Shamina dikatakan merangkak sambil bermain-main di sekitar ruang tamu sebelum mencapai wayar penyambung di belakang almari lalu terkena renjatan elektrik yang menyebabkan kematiannya.
Selepas mendengar jeritan Sofina Zulaikha, ibu saudaranya, Nor Aina Rosli, 14, yang ketika itu sibuk menyediakan sarapan di dapur, bergegas ke ruang tamu dan terkejut apabila melihat mangsa tertiarap dan tidak sedarkan diri sambil tangan kirinya menggenggam wayar.

Seorang lagi ibu saudara mangsa, Siti Hajar Idris, 26, berkata, hanya tiga orang di rumah itu iaitu mangsa bersama kakaknya dan mereka dijaga Nor Aina. Menurutnya, datuk dan nenek mangsa tiada di rumah kerana keluar menoreh getah, manakala bapanya, Mohd Azim Akmal, 23, keluar bekerja sebagai pendawai elektrik.